Kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula Rabu ini (13 Jan) dan akan berlangsung sehingga 26 Jan.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.
Jelas Muhyiddin, perintah itu melibatkan tiga peringkat pelaksanaan.
Peringkat pertama, PKP dikenakan ke atas lima buah negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Peringkat kedua, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Peringkat ketiga pula, PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan Sarawak hari ini meletakkan Kuching, Sibu dan Miri di bawah PKPB.
Rentas daerah, negeri dilarang
Muhyiddin turut mengumumkan bahawa semua perjalanan rentas daerah dan negeri di seluruh negara tidak dibenarkan.
Bagi peringkat pertama, yang melibatkan lima negeri dan tiga wilayah persekutuan, hanya perniagaan dalam senarai sektor ekonomi penting yang akan dibenarkan beroperasi.
“Bagi sektor ekonomi, kerajaan telah mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi,” kata Muhyiddin.
Sektor-sektor ini dibenarkan beroperasi kerana ia diperlukan untuk memastikan rantaian bekalan barang keperluan rakyat, katanya.
Namun, tambahnya, hanya 30 peratus kakitangan pentadbiran sektor ini akan dibenarkan beroperasi dari pejabat.
Dia juga menggesa mereka yang diizinkan untuk terus bekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Dia menambah bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan memberikan perincian lebih lanjut mengenai jenis perkhidmatan yang dianggap sebagai sektor ekonomi penting.
Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.
Sementara bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.
Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.
Muhyiddin berkata bagi negeri-negeri di bawah PKP, kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan bungkus pulang (take away).
Manakala bagi kawasan PKPB dan PKPP, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.
Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.
Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.
“Patuhi SOP ketika berada di tempattempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer.
“Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah,” katanya.
Pelajar SPM dibenarkan ke sekolah
Perdana menteri menambah bahawa pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM 2020 dan 2021 masih dibenarkan hadir ke sekolah.
Mengenai aktiviti keagamaan, dia mengatakan hanya maksimum lima orang di tempat-tempat ibadah yang dibenarkan.
Walau bagaimanapun, aktiviti keagamaan di tempat-tempat ibadah yang terletak di negeri-negeri di bawah PKPB dan PKPP masih boleh diteruskan dengan mematuhi SOP.
Satu perbezaan PKP kali ini dengan PKP yang diperkenalkan pada bulan Mac tahun lalu adalah aktiviti riadah di luar dibenarkan dengan syarat hanya bersama anggota isi rumah sahaja.
Jelas Muhyiddin, ini kerana pengasingan diri untuk satu tempoh yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental.
“Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja.
“Pastikan jarak anda dari orang lain adalah dua meter setiap masa. Kalau hendak berjogging, jangan lebih daripada dua orang dan kalau berbasikal, janganlah secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja,” katanya.
Semua aktiviti berkumpulan tidak dibenarkan.
Reference: https://www.malaysiakini.com/news/558498