Pemakaian Kasut Sekolah Bebas Warna Putih atau Hitam Pada Tahun Depan 2021

Sabah: Semua pelajar sekolah rendah dan menengah dibenarkan bebas memakai kasut berwarna hitam atau putih bermula sesi persekolahan tahun depan 2021. 

Penguatkuasaan itu sekali gus membatalkan keputusan Kementerian Pendidikan sebelum ini untuk melaksanakan pemakaian kasut hitam sepenuhnya mulai 2021.

Dalam satu edaran surat pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim semalam, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Profesional kementerian berkenaan pada 17 November lalu yang turut memutuskan pemakaian warna stoking adalah mengikut warna kasut yang dipakai.

“Kementerian sentiasa prihatin keperluan ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing sebelum bermula sesi persekolahan baharu.

“Bagi memudahkan ibu bapa dalam memenuhi keperluan tersebut, Mesyuarat Profesional memutuskan bahawa mulai tahun 2021, semua murid dibenarkan memilih sama ada memakai kasut berwarna hitam atau putih serta stoking mengikut warna kasut,” katanya.

Surat Edaran itu turut memaklumkan, kementerian menetapkan pemilihan jenis kasut pula adalah diperbuat daripada kanvas atau daripada bahan sintetik lainnya seperti nylon dan polyester yang mempunyai daya serap dan penyaluran gerak udara.

Pemilihan jenis kasut itu mengambil kira faktor keselesaan, keselamatan dan kesihatan semua pelajar.  

Dua tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling berhubung pelaksanaan pemakaian kasut dan stoking warna hitam sepenuhnya semua pelajar sekolah mulai 2021 selepas dilaksanakan beransur-ansur mulai sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan penggunaannya pada tahun ini.

Ia berikutan cadangan pemakaian kasut hitam oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Dr. Maszlee Malik susulan keluhan daripada ibu bapa yang mengadu mengenai kebersihan kasut putih dipakai anak mereka.

Langkah itu dikatakan berupaya membantu menceriakan pelajar, terutama dalam menjalankan aktiviti luar bilik darjah.

Leave a Reply